Rss Feed

Gerhana matahari dan gerhana kesetiaan

GERHANA I

Asar kelmarin semasa bulan dalam proses melindungi matahari, saya berada di dalam surau bersama-sama jemaah kariah.

Walaupun hanya dua saf, lelaki dan wanita serta kanak-kanak bersolat sunat gerhana matahari dengan penuh khusyuk. Kepada yang pertama kali melakukan ritual itu ia agak berbeza sedikit. Solat sunat dua rakaat itu mempunyai empat kali rukuk iaitu rukuk dua kali setiap rakaat dengan bacaan Al-Fatihah.

Imam, Ustaz Amir Noor Hezam yang memimpin solat itu memberi penerangan sebelum solat - niatnya dan cara-caranya, sama seperti dilakukan oleh tok imam sebelum solat hari raya.

Dan yang paling unik ialah SMS yang saya terima memaklumkan mengenai solat itu dari AJK Surau Al-Hidayah. Di akhir mesej itu, ada nota: Semua digalakkan memakai serba putih. Putih? Saya bertanya mengapa putih? Ia bukanlah wajib, tapi simbolik menandakan hari istimewa yang bukan berlaku selalu. Mungkin ia adalah fenomena yang berlaku buat kali terakhir dalam hidup kita yang pendek ini. Difikir-fikir ada logiknya juga, mungkin ia adalah gerhana terakhir kita.

Orang tua, muda (seperti saya) dan anak-anak semuanya memakai attire khusus itu (abang Rosli terpaksa menyelongkar gerobok - wardrobenya mencari seluar putih!). Para wanita memang pun telah putih dalam telekong.

Khatib kemudian membaca kuthbah ringkas (sama seperti khutbah solat hari raya) yang isi kandungannya mengenai soal-soal keinsafan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT dan kepada sesama manusia. Beliau kemudian menutup khutbahnya dengan satu peringatan: "Sedikit sebanyak dengan ibadah yang kita lakukan hari ini akan menyiapkan kita semua jika tiba masanya matahari naik dari arah barat kelak."

(Nota tambahan, petikan Kosmo! semalam muka 49: NEW YORK: Dunia akan kiamat tiga tahun lagi? Sebuah akhbar di sini semalam melaporkan berdasarkan kalendar kaum Maya di Amerika Tengah, kod tersembunyi kitab Injil, Perjanjian Lama dan teori pergerakan planet, dunia akan berakhir pada 21 Disember 2012 - Begitu jahilnya mereka tidak memetik kitabullah al-Quran!).

Saya dan jemaah lain - termasuk anak-anak mendengarnya dengan begitu khusyuk sekali khutbah itu.

Selepas majlis ini, semua jemaah menjamu selera dengan jamuan yang cukup istimewa. Itulah istimewanya jemaah surau Al-Hidayah, terletak di sebuah perkampungan di pinggir Shah Alam. Setidak-tidaknya anak-anak tahu adanya ritual yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan disunahkan kepada umatnya selama ini.

Terima kasih kepada Datuk Dr. Noor Azmi, Encik Mohd. Noor, abang Aziz dan juadah mi sanggul istimewa abang Hamid dan lain-lain.

GERHANA II

MenceritakaN mengenai keikhlasan dan kesetiaan, ia adalah dua istilah yang semua manusia tahu dan amalkan. Ia daripada kata dasar ikhlas dan setia (taat). Ia diamalkan dalam serba-serbi kehidupan.

Dalam agama soal itu amat dititikberatkan. Ikhlas dan taat kepada tuhan - dalam konteks Islam ialah kepada Allah SWT. Kedua-dua istilah itu bersangkutan dengan keimanan yang menjadi tiang tunggak kepada agama yang dianutinya.

Dalam kehidupan berkelamin, ikhlas kepada ikatan suami dan isteri. Mentaati pasangan masing-masing adalah akad yang diucapkan sebelum termeterainya secara sah pasangan itu. Begitu juga dalam kekeluargaan kepada ibu bapa, sanak saudara. Begitu jugalah dalam soal kerjaya. Kerja harus dilakukan secara ikhlas, bersungguh-sungguh dan komited. Kesetiaan kepada tempat kerja adalah kemestian bagi memastikan syarikat atau kantor itu beroleh kejayaan untuk faedah kakitangan-kakitangannya.

Di medan perang dua istilah itu cukup penting. Tanpanya tentera yang dianggotainya pasti akan tewas. Kesetiaan ialah mengenai ketaatan. Jika seseorang askar itu berpaling tadah, hancurlah barisan pertahanannya.

Di dalam tentera berpaling tadah atau menyerah diri atau juga disebut menderhaka, hukumannya ialah: Tiada ampun.

Begitu juga dalam politik. Ikhlas dan setia akan menjamin parti yang dianggotainya itu utuh dan kuat. Jarang-jarang ada anggotanya berpaling tadah. Jika tidak suka sekali pun, keluar dan duduk diam-diam. Namun dalam konteks Malaysia sekarang sudah ramai yang mulai berpaling tadah. Rata-rata yang berpaling tadah adalah disebabkan kes-kes yang terlalu remeh - kerana kedudukan dan kuasa.

Mungkin ini yang dinamakan politik dunia ketiga. Soal kepentingan bangsa ditolak ketepi. Soal kepentingan agama dan tanah air bukan lagi keutamaan. Kerana hati, apa nak jadi jadilah.

Yang peliknya di Malaysia, orang yang macam ini mendapat sokongan kuat, disanjung dan diangkat, walaupun rekodnya dia adalah penderhaka, tidak ikhlas dan tidak setia.

Mungkin benar dunia sudah di penghujungnya. Allahualam.

0 comments:

Post a Comment