Rss Feed

Selangor Oh Selangor: Ia kalut dengan Underworld

SELANGOR OH SELANGOR... Negeri paling maju di negara ini hasil pentadbiran dan perancangan BN sejak dulu, dengan ibu negeri hebat Shah Alam - yang dikenali juga sebagai bandar Melayu, kini menjadi kalut. Ia bukan dikalutkan oleh perbuatan adu domba politik UMNO atau MCA mahupun MIC, tapi oleh masalah dalaman yang meruncing dalam pemerintahan setahun jagung itu.

Kalau kemelut politik biasalah, tapi kini atas kekalutan yang tidak terfikir dek akal. Polis pun telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kekalutan itu. Ketua Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Datuk Hasnan Hassan mengesahkan penyiasatan dijalankan. Difahamkan ia membabitkan kes berprofil tinggi.

Akhbar NST menyifatkannya sebagai 'siasatan terhadap dakwaan seorang anggota Exco kerajaan negeri menggunakan pejabatnya untuk orang yang ada kaitan dengan aktiviti kurang sihat'.

Siasatan itu dibuat berdasarkan pendedahan bekas anggota DAP yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong. Choo Keong menggunakan istilah 'orang yang ada kaitan dengan aktiviti underworld'.

Underworld? Dari segi konteks jenayah ia bermakna 'pertubuhan yang terancang terbabit dalam aktiviti jenayah dan persundalan'. Dalam istilah mudah ia juga bermakna sebagai kongsi gelap.

Kita sebagai orang yang waras akan berkata 'tak masuk akal langsung'. Takkan seorang anggota Exco (yang tidak diberi nama oleh Choo Keong) sanggup melakukannya? Choo Keong yang dipetik oleh NST daripada laman blognya berkata, dakwaannya itu bukan satu 'rahsia' lagi dalam pentadbiran negeri itu.

Beliau membuat dakwaan itu melalui blognya http:\\weechookeong.word press.com semasa menyokong kenyataan ADUN Bukit Antarabangsa, yang juga rakan PKRnya, Azmin Ali. Azmin mencadangkan supaya majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor dirombak.

Ekoran dakwaan itu, Peguam Negara mengarahkan siasatan segera dijalankan kerana ia merupakan satu dakwaan yang serius.

Menteri Besar, Khalid Ibrahim yang ditanya pemberita berkata, beliau bersimpati dengan apa yang dihadapi Exconya, Ronnie Liu.

''Apa yang Wee (Choo Keong) buat bersifat peribadi. Saya bersimpati dengan Ronnie (Liu),'' katanya.

Nama Liu tidak disebut secara terus oleh Choo Keong, tapi menurut NST 'adalah difahamkan beliaulah (Liu) orangnya yang dirujuk oleh Choo Keong'.

Pemberita yang membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam bertanya kepada Liu, apakah dia akan menyaman Choo Keong. Liu sebaliknya mencabar Choo Keong menyebut namanya secara terbuka dahulu.

Apa seterusnya berlaku kita akan tunggu perkembangannya. Apa yang mahu dikomen di sini ialah tanggungjawab kerajaan negeri itu sendiri terhadap rakyat telah mulai terpesong. Sepatutnya dalam setahun pemerintahan kerajaan PKR yang didokongi DAP ini, ia sepatutnya menumpukan kepada pembangunan.

Cuba lihat di sekeliling Selangor, apa yang ada? Pembangunan yang hebat, kilang-kilang yang kini menjadi punca mata pencarian ribuan warga Selangor, juga oleh warga dari luar negeri itu malah golongan pendatang asing sendiri. Semua mereka menikmati hasil usaha yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Buruk mana sekalipun kerajaan BN dulu, itulah kemakmuran yang dibawa oleh mereka. Buruk mana sekali pun para pemimpin terdahulu - seperti yang didakwa oleh kebanyakan rakyat Selangor yang rata-rata terdiri dearipada orang Melayu sendiri - itulah hasil yang mereka kecapi sekarang.

Selangor dibangunkan daripada sebuah dataran yang gersang. Semasa saya menuntut di ITM pertengahan 80-an dulu, apa yang ada di Shah Alam? Shah Alam hanyalah sebuah pekan Melayu yang bangsa lain enggan memasukinya. Nilai tanahnya yang dikawal oleh penilai tanah bukan Melayu hanyalah berharga di bawah 50 sen sekaki persegi. Nah setahun lalu, sebelum kerajaan pakatan ini memerintah harganya menjulang naik sehingga ke paras RM50 sekaki persegi.

Shah Alam dan Selangor keseluruhannya cukup cemerlang. Kawasan baru dibangunkan - walaupun saya pernah menghentam bekas Menteri Besarnya, Dr. Khir Toyo atas isu penggondolan hutan berhampiran Bukit Cerakah - tapi pembangunannya selepas itu dilakukan secara terancang. Isu Bukit Cerakah itu sebenarnya telah membuka satu dimensi baru dalam perancangan pembangunan di negeri itu.

Kini kawasan-kawasan perumahan baru yang dimajukan oleh pentadbiran terdahulu dihuni oleh puluhan, malah ratusan ribu penduduk.

Kerajaan negeri telah memberikan tempat berteduh yang sempurna, sebuah bandar yang terancang dan kawasan industri yang dipenuhi kilang-kilang multinasional hebat.

Institusi pentadbiran Islam diurus dengan sempurna. Kompleks 'Masjid Biru' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dikelilingi oleh bangunan menara Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor. Terletak Kompleks Seni Islam di sebelah masjid itu, yang di dalamnya merupakan pusat penulisan khat al-Quran yang terkemuka. Siapa yang mengilhamkannya jika bukan kerajaan dulu.

Pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi latihan tumbuh bagai cendawan. Institusi inilah yang melahirkan tenaga mahir untuk menggerakkan negeri Selangor. Semua itu adalah di bawah perancangan dan realisasi kerajaan terdahulu.

Sungguh memalukan kerajaan negeri sekarang hanya pandai cari salah. Mengorek satu persatu mengenai isu-isu remeh yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu - tanpa mahu pun berterima kasih di atas infrastruktur yang telah dibina dan dihiasi kerajaan itu.

Kini, belum pun panas kerusi yang diduduki MB dan Exco-exconya, macam-macam pula isu timbul.

Rakyat yang menyokong dan memberi undi kepada mereka kini terkeliru. Apakah ini kerajaan yang mereka pilih? Apakah itu pemimpin yang mereka undi? Setahun bagi mereka sudah terlalu lama, mereka semakin muak dengan apa yang berlaku di Selangor ini. Mereka sedang melihat apa yang berlaku. Suara untuk mengembalikan Selangor ke zaman kegemilangannya semakin kedengaran. Ia semakin kuat.

Syabas BN! Nik Aziz kena

bermuhasabah banyak-banyak

KEMENANGAN Pas di Manek Urai (MU) memang sudah dijangka. Tapi tidaklah dengan majoriti sebegitu kecil. Dulu masa PRU-12 Pas menang dengan majoriti 1,352 undi. Semalam Pas menang dengan terlalu tipis. Siapa agaknya 65 undi itu?

BN telah bertanding secara terhormat di situ. Syabas BN. Nampaknya cahaya sudah nampak di hujung terowong di Kelantan. BN sudah mulai mendapat perhatian. Rakyat MU sememangnya inginkan perubahan dan kemajuan.

Janji-janji ikhlas yang dijanjikan BN telah mendapat perhatian. Separuh daripada rakyat Manek Urai mahu jajahan itu menjadi anak angkat kerajaan Pusat. Mereka juga mahu MU menjadi bandar agropolitan.

Namun, BN tiada rezeki. Walaupun satu undi pihak yang menang akan tetap menang.

Hakikatnya itulah politik Kelantan.

Dulu semasa pilihan raya umum pun dijanji begitu juga. Ia termasuklah janji membina Universiti Kelantan. Yang hebatnya, janji itu ditunaikan, walaupun BN kalah. Kini, tidak pastilah sama ada janji itu akan ditunaikan?

Ungkapan menarik orang Kelate ialah "orghe berghi kito ambik, undi toksah". Malah orang Kelantan di Kuala Lumpur pun bercakap dengan nada yang sama. Ironinya, ada di antara golongan yang bercakap itu merupakan penyokong kerajaan. Itulah uniknya orang Kelantan di mana-mana sekali pun.

Sejak Nik Aziz Nik Mat memerintah Kelantan 20 tahun, negeri itu penuh dengan politik. Siang malam politik. Ceramah agama pun politik. Saya sendiri pernah berkhidmat di Kelantan - semasa Nik Aziz mula-mula masuk ofis sebagai MB 20 tahun dulu. Ia adalah penempatan saya yang pertama di luar KL sebagai seorang wartawan muda. Sebagai pasangan orang Kedah, anak sulung saya lahir di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Memang sungguh unik negeri itu. Siang malam politik. Makan minum politik. Tidur malam pun mimpi politik.

Akibat politik Pas yang totok itulah, ada pandangan mengatakan UMNO susah untuk tawan kembali Kelantan. Tidak pastilah kita senarionya selepas ketiadaan Nik Aziz kelak. Namun hakikatnya faktor Nik Aziz semakin malap di Kelantan.

Nik Aziz turun padang all out di MU. Tapi dengan angka yang sebegitu kecil, beliau perlu bermuhasabah banyak-banyak.

Namun, orang Kelantan juga bijak buat pusingan pemerintahan. Mengikut trend, pusingannya ialah setiap 18 ke 20 tahun. Sebelum kerajaan Nik Aziz, BN memerintah negeri itu selama 18 tahun. Kini Pas sudah dua tahun terlebih. Ia bersilih ganti antara Pas dan UMNO.

Seperti yang saya kata cahayanya sudah kelihatan di hujung terowong. Mungkin pilihan raya umum ke-13 ini kot?

0 comments:

Post a Comment