Rss Feed

Telah Bersemadi

Sementara itu, Bernama melaporkan, jenazah Yasmin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, kira-kira 1 petang tadi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham ditempatkan di Masjid Abu Bakar
As-Siddiq bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi enghormatan terakhir.

Jenazah itu disembahyangkan dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 12 tengah hari.

Suasana sedih dan sepi menyelubungi perkarangan masjid yang dihadiri lebih 200 orang termasuk saudara mara Allahyarham dan penduduk kawasan berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir serta mengiring jenazah ke tapak perkuburan.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang turut hadir pada upacara pengebumian itu berkata kredibiliti Allahyarham sebagai pengarah filem bertaraf antarabangsa akan dikenang dan negara kehilangan pengarah yang berbakat.

"Kami (rakan-rakan yang mengenali Yasmin) begitu sedih dengan pemergiannya. Sebenarnya, satu perundingan antara Yasmin dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Eksekutif Media Prima Bhd) telah dibuat untuk mengeluarkan lebih banyak filem dan tayangan berbentuk komersial bertemakan 1Malaysia dan perpaduan kaum," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Datuk Tony Fernandez berkata arwah seorang insan yang sangat istimewa kerana sentiasa mempunyai idea-idea dalam menghasilkan karya bermutu bagi merealisasikan konsep 1Malaysia.

Penulis lirik terkenal Habsah Hassan berkata walaupun arwah bersikap terbuka dan karyanya sering menimbulkan kontroversi berdasarkan keterbukaan serta keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan, namun pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dunia seni perfileman tanahair.

"Tempat Yasmin sebagai pengarah filem tidak dapat dicari ganti, beliau cepat mesra dan mudah menarik perhatian orang. Itu merupakan satu sikap yang bagus sebagai seorang pengarah bagi menjalinkan kerjasama di kalangan pelakon untuk berlakon di bawah arahannya," katanya.

Pengarah filem terkenal Othman Hafsham berkata, walaupun beliau tidak begitu mengenali arwah, namum arwah banyak berkongsi idea dengannya dalam menghasilkan karya-karya filem dan iklan tv yang bermutu tinggi.

"Arwah seorang karyawan yang sentiasa mempunyai idea bernas dalam karyanya ...membudayakan hidup perpaduan kaum di dalam karyanya. Di tanah perkuburan ini dapat dilihat semangat itu yang menyatukan kaum di negara ini," katanya.

Senator Tan Sri Jins Shamsudin turut memberikan pandangan yang sama terhadap arwah sebagai seorang pengarah yang berpotensi dan mempunyai kebolehan luar biasa dalam menghasilkan karya-karyanya.

Pihak media tidak dibenarkan membuat liputan dan merakam gambar semasa jenazah disembahyangkan dan pada upacara pengkebumian.i

0 comments:

Post a Comment