Rss Feed

Lihatlah realiti wahai Lim Kit Siang...

Saudara Lim Kit Siang cukup nyaring, berapi-api dan kasar semalam ketika membangkitkan mengenai isu biasiswa kerajaan di Dewan Rakyat - yang dakwanya ia diagihkan secara tidak adil dan hanya mengutamakan orang Melayu dan bumiputera sahaja.

Saya sungguh hairan mengapa beliau membangkitkan isu mengenai kaum itu. Kaum mana yang beliau sebenarnya perjuangkan dalam partinya? Jika orang Melayu ketinggalan dalam serba-serbi adakah beliau akan membelanya? Jika kebanyakan orang Melayu dan kaum bumiputara lain masih terkial-kial di luar bandar - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang - membanting tulang di sawah-sawah padi, sedangkan tauke-tauke hidup senang-lenang, adakah DAP akan turut menjadi juara membela mereka?

Mengapa DAP yang mendakwa berjuang berdasarkan hak asasi manusia, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi tidak mahu memperjuangkan nasib kaum bumiputera yang masih ketinggalan dalam ekonomi, sosial dan serba-serbi?

Mengapa isu biasiswa kerajaan (yang terlalu sedikit jumlah itu) digembar-gemburkan sehingga menjadi sebagai isu yang membara dan terlalu besar? Apakah Kit Siang mahu meraih simpati politik dan mahu mencetuskan suasana panas di kalangan kaum?

Tahukah Kit Siang kaum mana yang paling ramai belajar di luar negara sekarang? Berapa banyak yayasan-yayasan persendirian yang dikuasai oleh tauke-tauke besar, jutawan dan bilionair Cina yang menaja pelajar-pelajar bangsa mereka.

Jika kerajaan tidak memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar bumiputera yang cerdik pandai ini siapa lagi yang mahu memberinya?

Tahukah Kit Siang siapakah anak- anak bumiputera yang pandai-pandai itu. Kebanyakannya mereka datang dari luar bandar. Siapa yang mahu mempedulikan mereka jika bukan kerajaan? Apakah yayasan-yayasan yang disebut tadi mahu menaja anak-anak kampung itu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terbaik?

Kita tidak menafikan soal meritokrasi amat penting dalam penganugerahan biasiswa itu. Siapa yang layak dia akan dapat, tapi janganlah terlalu mempersoalkan isu ini sehingga menyebabkan kaum- kaum lain marah kepada kerajaan dan orang Melayu - kononnya kaum lain (terutamanya kaum yang banyak menyokong DAP) dinafikan hak dan diketepikan.

DAP cuba menonjolkan bahawa yang jahat ialah orang Melayu dan kerajaan.

Lihatlah hakikat di depan mata kita sekarang. Berapa ramai pelajar-pelajar bukan Melayu yang mendapat tajaan - malah oleh negara jiran untuk belajar di negara itu dan akhirnya terus menetap di sana, di Hong Kong malah di Taiwan.

Kita hairan, salahkah jika kerajaan mahu menolong anak-anak bumiputera yang mewakili kaum majoriti di negara ini? Di negara jiran Singapura juga, masih wujud jurang dan ketidaksamaan meklibatkan kaum. Tapi Melayu di sana tidak pernah berkobar-kobar pun seperti Kit Siang? Apakah orang Melayu di Singapura tidak boleh berkata apa-apa? Itu kita tidak tahulah. Tapi negara itu juga mengamalkan pendekatan yang sama seperti yang diamalkan oleh DAP di negara ini, bukan?

Oleh itu Kit Siang dan pihak-pihak lain, lihatlah kenyataan di depan anda. Siapa dia barisan bilionair-bilionair dan laksawan (terlalu kaya) yang hidup mewah di negara ini? Siapa dia yang menguasai ekonomi di negara ini? Siapa ahli-ahli profesional yang bersepah di negara ini? Siapa pemilik kedai-kedai perniagaan kecil atau besar di merata pelosok tempat di tanah air ini? Siapa yang tinggal di banglo-banglo besar yang merata di bandar-bandar besar di negara ini?

Saudara Kit Siang, tolonglah janganlah membangkitkan soal-soal yang boleh membakar perasaan antara kaum lagi. Kita sudah letih, kita sudah bosan. Kita mahu hidup dengan aman, tenteram dan harmoni. Kita mahu supaya kekayaan di negara ini dikongsi bersama - bukan oleh satu pihak sahaja. Kita mahu orang Cina juga mengajar orang Melayu berniaga.

Hakikatnya jika kita perincikan dasar-dasar kerajaan sebenarnya ia sebenarnya telah 'mengkayakan' bangsa lain yang mendapat tempiasan lebih lumayan daripada orang Melayu dan kaum bumiputera itu sendiri.

Jika dulu selepas peristiwa 13 Mei 1969 rakyat Malaysia kembali bertaut untuk hidup aman damai dan hormat menghormati - bagi membantu antara kaum memperbaiki diri masing-masing - mengapa falsafah itu semakin longgar?

Apakah kita semua sudah lupa? Apakah kita semua ini semakin selesa? Apakah kita ini sudah terlalu sombong dan bongkak?

Hakikatnya orang bumiputera di negara ini masih perlu dibantu. Lihatlah di mana orang Melayu berada? Jika saya katakan orang Melayu di Pulau Pinang adalah golongan kelas kedua - apakah DAP akan marah? Tapi itulah hakikatnya. Di mana pula orang Iban, Kadazan, Bidayuh dan lain-lainnya? Mereka semua masih perlukan bantuan.

Hayatilah puisi Usman Awang (seperti Cuit minggu lepas) yang menggambarkan murahnya hati orang Melayu:

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak dipangkuan mati kebuluran"
Lihatlah realiti itu wahai Kit Siang. Janganlah emosional, anda mewakili kaum yang paling bernasib baik di muka bumi ini.

Nik Aziz oh Nik Aziz, tok guru yang hebat...


LIM Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng gembira, Anwar Ibrahim puas manakala Hadi Awang kelihatan serius di mesyuarat membincangkan kedudukan pelan gagasan kerajaan perpaduan di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur kelmarin. Idea Hadi itu ditolak.


SYABAS Pas kerana menolak gagasan perpaduan Melayu. Syabas Pas kerana bersekongkol dengan rakan-rakannya - yang asyik mengungkit mengenai isu biasiswa kepada anak-anak bumiputera miskin, isu untuk mengenyah DEB, isu-isu terlalu sensitif yang jika disebut di sini 'orang-orang tertentu' akan mengecap kita ini sebagai rasis.

Cita-cita Pas ialah mahu memerintah Malaysia dengan rakan-rakannya itu. Mungkin Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu mengidamkan menjadi Perdana Menteri. Jika diizinkan tuhan cita-citanya akan tercapai. Tolong, janganlah sesiapa mengatakan dia tok guru yang hanya mengajar agama - sebenarnya beliau ialah ahli politik totok yang dalam istilah Inggeris disebut political animal.

Beliau tidak percaya kepada pengertian kebangsaan - atau dalam konteks gagasan perpaduan, Melayu. Melayu bagi beliau ialah elemen assabiyah yang menurutnya tidak sehaluan dengan ajaran Islam. Teras beliau ialah Islam semata-mata. Bagi beliau Melayu itu tidak wujud.

Itulah antara kegagalan gagasan tersebut. Awal-awal lagi Nik Aziz menolaknya, walaupun kumpulan lain dalam Pas mahu rundingan itu dimulakan. Presiden Pas, Hadi Awang yang mencetuskan idea itu. Ia disambut oleh kumpulan bukan-Erdogan, terutama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Sambutan Nasharudin itu mengakibatkan beliau 'menghilangkan diri' beberapa hari kerana dimarahi teruk oleh Mursyidul Amnya, Nik Aziz.

Nik Aziz meminta Nasharudin meletakkan jawatan dan masuk UMNO. Nik Aziz terlalu emosional kerana ada pihak yang cuba menghalang cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar Ibrahim yang bimbang melihat berlaku krisis keyakinan yang merugikannya dalam pakatan itu pergi menghadap Nik Aziz di Kota Bharu sebelah pagi Ahad - beberapa jam sebelum Hadi pulang dari luar negara malam itu.

Ternyata dalam pertemuan itu Anwar berjaya mempengaruhi Nik Aziz, atau mereka berdua merancang untuk 'menyelesaikan' kemelut ini - tanpa pengetahuan pencetus idea, Hadi.

Hadi yang ditemui pemberita di lapangan terbang KLIA berkata, Pas akan mengadakan perbincangan mengenai gagasan itu keesokan harinya.

Keesokan harinya (Isnin lalu) pakatan pembangkang yang dihadiri Anwar, Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng tersenyum puas. Hadi yang turut berada di dalam mesyuarat sejam pakatan itu di bangunan Parlimen terpaksa 'malu alah' dan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara menolak gagasan itu. Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh Anwar, Hadi dan Kit Siang.

Nasharudin tidak hadir dalam pertemuan itu.

Malamnya sebelum pertemuan itu, Nik Aziz di Kuala Krai menyerang UMNO. Beliau menyifatkan UMNO sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. Parti yang membawa negara ini sehingga ke tahap ini - berbanding Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara Islam lain - dicercanya sebegitu rupa.

Itulah Nik Aziz, ahli politik totok yang kita kenali lama dulu. Seorang yang kononnya berperwatakan lembut, tapi keras berpolitiknya. Dia menyamakan UMNO seperti Ayah Pin. Dia juga menyamakan UMNO seperti pengganas komunis.

"UMNO ialah pertubuhan sesat, sama dengan Ayah Pin. UMNO dan komunis adalah sama. UMNO ialah parti sosialis kerana menolak Islam. UMNO ialah parti Melayu bukan parti Islam," kata Menteri Besar Kelantan itu di satu ceramah di Kampung Laloh di Kuala Krai malam Ahad lalu.

"Bagaimana kita mahu bersetuju dengan UMNO? Mereka sekarang mahu minta kita lupa yang lepas dan bersatu dengan mereka. Mereka ini tidak tahu malu," katanya di hadapan rakan-rakan pakatannya Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw.

Awal hari itu (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) Nik Aziz sudah mulai berlembut. Tapi beberapa jam kemudian di ceramah di Kuala Krai itu beliau buat pusingan-U di hadapan 5,000 penyokongnya dengan menghentam UMNO dalam kempen menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.

Itulah Nik Aziz yang kita kenali. Beliau boleh membuat pusingan-U yang tajam. Itu pasal kita kata beliau bukan tok guru ajar mengaji, tapi ahli politik totok yang berjuang atas nama prinsipnya yang kental.

Berkata di hadapan pengikutnya yang fanatik itu, Nik Aziz menganggap UMNO tidak layak memerintah negara ini. Semasa mengucapkannya, beliau langsung tidak sedar UMNO sudahpun memerintah negara ini selama 52 tahun dengan jayanya. Pas tidak pernah.

Tambah beliau, umat Islam wajib menolak UMNO jika mereka takutkan Allah.

Benar Pas sudah memerintah beberapa negeri di negara ini. Di Kedah dan Kelantan mungkin tiada masalah kerana ramai rakyatnya 'Melayu', tapi corak pemerintahan Pas di Perak yang terikat kepada master DAP telah menunjukkan hitam putih corak pemerintahannya.

Belumpun panas duduk di kerusi Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sudahpun meluluskan hak milik tanah di kampung baru untuk selama 999 tahun (atau dibulatkan 1,000 tahun). Orang Perak sendiri terkejut, teruja dengan tindakan Pas Perak itu. Kita yakin corak inilah yang akan diterapkan apabila mereka memerintah Malaysia kelak.

Kini Nik Aziz merasakan Pas dan pakatan pembangkangnya yang layak memerintah negara ini. Jika tidak layak pun jangan bimbang, mereka akan dipimpin (ditunjuk ajar) oleh sebuah negara jiran yang yakin Malaysia kini sudah pun berada di persimpangan jalan. Negara itulah yang kini melatih Pulau Pinang dengan menghantar beberapa penasihat ke negeri itu.

Nik Aziz merasakan pakatannya sudah kuat. Memang benar mereka sudah kuat. Mereka kuat apabila orang Melayu lemah. Memang benarpun orang Melayu kini sudah terlalu lemah. Gagasan perpaduan bagi Nik Aziz tidak boleh dilaksanakan sama sekali - sama seperti kata-kata Karpal Singh "langkah mayatnya dulu" jika Malaysia mahu menjadi negara Islam.

Memetik kata-kata Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin "… sekiranya gagasan ini berjaya, ia akan menjadi satu pelan politik yang terhebat dalam sejarah tanah air."

"… tapi untuk merealisasinya bukan mudah. Pakatan pembangkang seboleh mungkin tidak mahu melihat rancangan itu berjaya."

Kenapa mereka tidak mahu melihat ia berjaya? Kerana jika gagasan ini berjaya, pakatan itu akan hancur lebur. Dan orang Melayu akan kembali kuat.

Apa pun tahniah dan syabas sekali lagi kepada Anwar dan Kit Siang serta tentunya tok guru Nik Aziz kerana berjaya menggagalkan gagasan itu.

Alkisah perihal ternakan babi di Malaysia

SU babi sering menimbulkan kontroversi di negara ini. Baru-baru ini ketua DAP Kedah dan Perlis mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang di Kedah gara-gara babi. Bagi DAP, binatang itu melambangkan budaya majoriti kaum yang mereka wakili dan oleh itu ternakan itu perlu dipelihara. Sebarang isu yang melibatkan haiwan itu akan dipertahankan - waima putus kawan atau rakan pakatan sekali pun.

Satu-satunya wakil rakyat DAP di Kedah sanggup menjadi wakil bebas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kerana mempertahankan haiwan itu. Mereka marah kerana kerajaan Kedah, pimpinan Pas merobohkan rumah sembelihan ternakan itu di Kampung Berjaya, Alor Setar baru-baru ini. Isu-isu lain - kononnya kerajaan negeri itu mahu merobohkan kuil dan tokong hanyalah isu yang ditimbulkan kemudian. Isu utama ialah babi.

(Nota: Babi sering disebut secara sopan oleh orang Melayu dengan bunyi ejaan jawi ''ba-alif-ba-ya'' atau dengan sebutan ''ba'' sahaja. Saya tidak pasti mengapa orang Melayu (generasi lama terutama mak-mak kita) memanggilnya sebegitu, mungkin untuk menjaga hati rakan-rakan lain, atau kerana tidak sampai hati memanggilnya dengan sebutan terus - babi.)

Apa istimewanya haiwan itu? Mengapa ia begitu penting kepada rakyat Malaysia? Hasil sedikit penyelidikan mendapati haiwan itu cukup penting dalam industri penternakan di Malaysia. Itu pasal banyak negeri tidak berapa peduli apabila bahan buangan daripada ladang-ladang ternakannya mencemarkan pantai-pantai dan sungai-sungai di negara ini. Yang penting industri ini amat menguntungkan.

Cuba lihat angka-angka ini. Mengikut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia melalui laman webnya www.dvs.gov.my bilangan babi di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) pada 2008 ialah sebanyak 1,733,466 ekor; lebih banyak berbanding kerbau 133,381 ekor, lembu (847,757 ekor), kambing (437,805 ekor) dan berbiri 124,749 ekor.

Statistik sembelihan ternakan yang direkodkan oleh jabatan itu pada 2008 pula; babi disembelih sebanyak 1,715,890 ekor, kerbau (11,847 ekor), lembu (102,010 ekor), kambing (15,186 ekor) dan berbiri (4,197 ekor).

Dipendekkan cerita, ekoran betapa pentingnya industri itu, sila baca keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 April 2008 (yang turut dipetik oleh laman web Badan Peguam Malaysia www.malaysianbar.org.com pada 19 April 2008).

KUALA LUMPUR 18 April - Sekumpulan ahli perniagaan China baru-baru ini mengemukakan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport daging babi ke republik tersebut.

Ketua Unit Penternakan Babi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kim Hee berkata, cadangan itu dibuat kerana harga daging babi yang ditawarkan di ladang-ladang negara ini cukup kompetitif, malah antara yang termurah di Asia.

Sehubungan itu, katanya, beberapa syarikat dari China menyatakan minat untuk bekerjasama dengan penternak babi Malaysia bagi menampung permintaan daging babi yang semakin tinggi di negara itu.

"Beberapa syarikat menyatakan minat, tetapi kita tunggu dulu kunjungan wakil syarikat China itu ke Malaysia hujung bulan ini untuk membolehkan perbincangan lanjut.

"Setakat ini semuanya masih di peringkat awal dan tiada keputusan muktamad diambil," kata Kim Hee ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar The Sun hari ini memetik laporan Nanyang Siang Pau yang melaporkan Malaysia dalam perancangan mengeksport daging babi ke China buat pertama kalinya.

Kim Hee dalam laporan itu berkata, urusan berhubung hal tersebut dilakukan dengan dua buah syarikat dari China selain usaha untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Beliau dipetik sebagai berkata, jika Malaysia dapat menjadi pengeksport babi ke China, para penternak akan berpeluang memperoleh pendapatan yang baik termasuk dari segi pertukaran wang asing memandangkan pasaran yang besar di negara itu.

China yang mempunyai penduduk lebih 1.2 bilion dilaporkan berhadapan dengan kekurangan bekalan daging babi berikutan permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan penduduknya.

Ekoran taraf yang semakin baik, permintaan daging babi di negara berkenaan dilaporkan meningkat hingga China terpaksa mengimport daging babi dari Thailand, tetapi langkah itu juga dikatakan tidak mencukupi.

Malaysia sebelum ini turut mengeksport daging babi ke Singapura namun ia dihentikan selepas republik itu melarang import daging babi dari Malaysia berikutan penyebaran virus Nipah pada 1998.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Dr. Ibrahim Che Embong ketika diminta mengulas isu itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada para penternak babi berhubung penternakan besar-besaran untuk eksport ke China.

Dari segi dasar, ujarnya, hanya ladang ternakan secara moden yang dibenarkan ditambah manakala soal sama ada boleh atau tidak bilangan babi ditingkatkan terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

"Mengikut amalan, selaku tuan tanah, negeri yang buat dasar mengenai penternakan babi. Negeri-negeri memang hanya menumpukan untuk menampung keperluan babi dalam negara. Sejak dari tahun 2000, sudah tidak ada eksport babi termasuk ke Singapura.

"Statistik menunjukkan jumlah babi di Malaysia berjumlah 2.6 juta ekor tetapi babi boleh ditingkatkan pengeluarannya dengan cepat.

"Haiwan itu boleh beranak tiga kali setahun dan setiap kali beranak, ia boleh melahirkan 11 ekor anak.

"Mungkin sebab itu para penternak merancang terlebih dahulu dengan syarikat China kerana mereka tahu jumlah babi boleh ditingkatkan dalam masa yang singkat," katanya.

Kesimpulan saya ialah: Industri penternakan babi ialah cukup lumayan. Oleh itu timbul persoalan sekarang apakah ia membabitkan soal budaya atau ia telah menjadi isu komersial yang dikawal oleh kartel yang gagah dan orang politik hanyalah faktor untuk mengapi-apikan sahaja supaya isu itu kelihatan ''amat penting''.

Kedua, besarnya industri penternakan babi di Malaysia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat bertoleransi. Siapa kata orang Melayu Malaysia yang beragama Islam menentang penternakan itu? Jika tidak sudah tentulah tidak sebegitu besar industri tersebut. Fikir-fikirkanlah.

Selangor Oh Selangor: Ia kalut dengan Underworld

SELANGOR OH SELANGOR... Negeri paling maju di negara ini hasil pentadbiran dan perancangan BN sejak dulu, dengan ibu negeri hebat Shah Alam - yang dikenali juga sebagai bandar Melayu, kini menjadi kalut. Ia bukan dikalutkan oleh perbuatan adu domba politik UMNO atau MCA mahupun MIC, tapi oleh masalah dalaman yang meruncing dalam pemerintahan setahun jagung itu.

Kalau kemelut politik biasalah, tapi kini atas kekalutan yang tidak terfikir dek akal. Polis pun telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kekalutan itu. Ketua Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Datuk Hasnan Hassan mengesahkan penyiasatan dijalankan. Difahamkan ia membabitkan kes berprofil tinggi.

Akhbar NST menyifatkannya sebagai 'siasatan terhadap dakwaan seorang anggota Exco kerajaan negeri menggunakan pejabatnya untuk orang yang ada kaitan dengan aktiviti kurang sihat'.

Siasatan itu dibuat berdasarkan pendedahan bekas anggota DAP yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong. Choo Keong menggunakan istilah 'orang yang ada kaitan dengan aktiviti underworld'.

Underworld? Dari segi konteks jenayah ia bermakna 'pertubuhan yang terancang terbabit dalam aktiviti jenayah dan persundalan'. Dalam istilah mudah ia juga bermakna sebagai kongsi gelap.

Kita sebagai orang yang waras akan berkata 'tak masuk akal langsung'. Takkan seorang anggota Exco (yang tidak diberi nama oleh Choo Keong) sanggup melakukannya? Choo Keong yang dipetik oleh NST daripada laman blognya berkata, dakwaannya itu bukan satu 'rahsia' lagi dalam pentadbiran negeri itu.

Beliau membuat dakwaan itu melalui blognya http:\\weechookeong.word press.com semasa menyokong kenyataan ADUN Bukit Antarabangsa, yang juga rakan PKRnya, Azmin Ali. Azmin mencadangkan supaya majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor dirombak.

Ekoran dakwaan itu, Peguam Negara mengarahkan siasatan segera dijalankan kerana ia merupakan satu dakwaan yang serius.

Menteri Besar, Khalid Ibrahim yang ditanya pemberita berkata, beliau bersimpati dengan apa yang dihadapi Exconya, Ronnie Liu.

''Apa yang Wee (Choo Keong) buat bersifat peribadi. Saya bersimpati dengan Ronnie (Liu),'' katanya.

Nama Liu tidak disebut secara terus oleh Choo Keong, tapi menurut NST 'adalah difahamkan beliaulah (Liu) orangnya yang dirujuk oleh Choo Keong'.

Pemberita yang membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam bertanya kepada Liu, apakah dia akan menyaman Choo Keong. Liu sebaliknya mencabar Choo Keong menyebut namanya secara terbuka dahulu.

Apa seterusnya berlaku kita akan tunggu perkembangannya. Apa yang mahu dikomen di sini ialah tanggungjawab kerajaan negeri itu sendiri terhadap rakyat telah mulai terpesong. Sepatutnya dalam setahun pemerintahan kerajaan PKR yang didokongi DAP ini, ia sepatutnya menumpukan kepada pembangunan.

Cuba lihat di sekeliling Selangor, apa yang ada? Pembangunan yang hebat, kilang-kilang yang kini menjadi punca mata pencarian ribuan warga Selangor, juga oleh warga dari luar negeri itu malah golongan pendatang asing sendiri. Semua mereka menikmati hasil usaha yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Buruk mana sekalipun kerajaan BN dulu, itulah kemakmuran yang dibawa oleh mereka. Buruk mana sekali pun para pemimpin terdahulu - seperti yang didakwa oleh kebanyakan rakyat Selangor yang rata-rata terdiri dearipada orang Melayu sendiri - itulah hasil yang mereka kecapi sekarang.

Selangor dibangunkan daripada sebuah dataran yang gersang. Semasa saya menuntut di ITM pertengahan 80-an dulu, apa yang ada di Shah Alam? Shah Alam hanyalah sebuah pekan Melayu yang bangsa lain enggan memasukinya. Nilai tanahnya yang dikawal oleh penilai tanah bukan Melayu hanyalah berharga di bawah 50 sen sekaki persegi. Nah setahun lalu, sebelum kerajaan pakatan ini memerintah harganya menjulang naik sehingga ke paras RM50 sekaki persegi.

Shah Alam dan Selangor keseluruhannya cukup cemerlang. Kawasan baru dibangunkan - walaupun saya pernah menghentam bekas Menteri Besarnya, Dr. Khir Toyo atas isu penggondolan hutan berhampiran Bukit Cerakah - tapi pembangunannya selepas itu dilakukan secara terancang. Isu Bukit Cerakah itu sebenarnya telah membuka satu dimensi baru dalam perancangan pembangunan di negeri itu.

Kini kawasan-kawasan perumahan baru yang dimajukan oleh pentadbiran terdahulu dihuni oleh puluhan, malah ratusan ribu penduduk.

Kerajaan negeri telah memberikan tempat berteduh yang sempurna, sebuah bandar yang terancang dan kawasan industri yang dipenuhi kilang-kilang multinasional hebat.

Institusi pentadbiran Islam diurus dengan sempurna. Kompleks 'Masjid Biru' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dikelilingi oleh bangunan menara Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor. Terletak Kompleks Seni Islam di sebelah masjid itu, yang di dalamnya merupakan pusat penulisan khat al-Quran yang terkemuka. Siapa yang mengilhamkannya jika bukan kerajaan dulu.

Pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi latihan tumbuh bagai cendawan. Institusi inilah yang melahirkan tenaga mahir untuk menggerakkan negeri Selangor. Semua itu adalah di bawah perancangan dan realisasi kerajaan terdahulu.

Sungguh memalukan kerajaan negeri sekarang hanya pandai cari salah. Mengorek satu persatu mengenai isu-isu remeh yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu - tanpa mahu pun berterima kasih di atas infrastruktur yang telah dibina dan dihiasi kerajaan itu.

Kini, belum pun panas kerusi yang diduduki MB dan Exco-exconya, macam-macam pula isu timbul.

Rakyat yang menyokong dan memberi undi kepada mereka kini terkeliru. Apakah ini kerajaan yang mereka pilih? Apakah itu pemimpin yang mereka undi? Setahun bagi mereka sudah terlalu lama, mereka semakin muak dengan apa yang berlaku di Selangor ini. Mereka sedang melihat apa yang berlaku. Suara untuk mengembalikan Selangor ke zaman kegemilangannya semakin kedengaran. Ia semakin kuat.

Syabas BN! Nik Aziz kena

bermuhasabah banyak-banyak

KEMENANGAN Pas di Manek Urai (MU) memang sudah dijangka. Tapi tidaklah dengan majoriti sebegitu kecil. Dulu masa PRU-12 Pas menang dengan majoriti 1,352 undi. Semalam Pas menang dengan terlalu tipis. Siapa agaknya 65 undi itu?

BN telah bertanding secara terhormat di situ. Syabas BN. Nampaknya cahaya sudah nampak di hujung terowong di Kelantan. BN sudah mulai mendapat perhatian. Rakyat MU sememangnya inginkan perubahan dan kemajuan.

Janji-janji ikhlas yang dijanjikan BN telah mendapat perhatian. Separuh daripada rakyat Manek Urai mahu jajahan itu menjadi anak angkat kerajaan Pusat. Mereka juga mahu MU menjadi bandar agropolitan.

Namun, BN tiada rezeki. Walaupun satu undi pihak yang menang akan tetap menang.

Hakikatnya itulah politik Kelantan.

Dulu semasa pilihan raya umum pun dijanji begitu juga. Ia termasuklah janji membina Universiti Kelantan. Yang hebatnya, janji itu ditunaikan, walaupun BN kalah. Kini, tidak pastilah sama ada janji itu akan ditunaikan?

Ungkapan menarik orang Kelate ialah "orghe berghi kito ambik, undi toksah". Malah orang Kelantan di Kuala Lumpur pun bercakap dengan nada yang sama. Ironinya, ada di antara golongan yang bercakap itu merupakan penyokong kerajaan. Itulah uniknya orang Kelantan di mana-mana sekali pun.

Sejak Nik Aziz Nik Mat memerintah Kelantan 20 tahun, negeri itu penuh dengan politik. Siang malam politik. Ceramah agama pun politik. Saya sendiri pernah berkhidmat di Kelantan - semasa Nik Aziz mula-mula masuk ofis sebagai MB 20 tahun dulu. Ia adalah penempatan saya yang pertama di luar KL sebagai seorang wartawan muda. Sebagai pasangan orang Kedah, anak sulung saya lahir di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Memang sungguh unik negeri itu. Siang malam politik. Makan minum politik. Tidur malam pun mimpi politik.

Akibat politik Pas yang totok itulah, ada pandangan mengatakan UMNO susah untuk tawan kembali Kelantan. Tidak pastilah kita senarionya selepas ketiadaan Nik Aziz kelak. Namun hakikatnya faktor Nik Aziz semakin malap di Kelantan.

Nik Aziz turun padang all out di MU. Tapi dengan angka yang sebegitu kecil, beliau perlu bermuhasabah banyak-banyak.

Namun, orang Kelantan juga bijak buat pusingan pemerintahan. Mengikut trend, pusingannya ialah setiap 18 ke 20 tahun. Sebelum kerajaan Nik Aziz, BN memerintah negeri itu selama 18 tahun. Kini Pas sudah dua tahun terlebih. Ia bersilih ganti antara Pas dan UMNO.

Seperti yang saya kata cahayanya sudah kelihatan di hujung terowong. Mungkin pilihan raya umum ke-13 ini kot?

1000 ahli prk masuk umno

indakan kira-kira 1,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Bahagian Silam, Lahad Datu, Sabah keluar parti untuk menyertai UMNO semalam membuktikan parti itu tidak mampu untuk bertapak di Sabah.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan semua bekas ahli PKR berkenaan ke dalam UMNO dan berharap mereka boleh menjadi ahli yang setia serta tidak mengecewakan parti.

"Kita tidak mahu apa yang berlaku dalam MCA dan MIC baru-baru ini iaitu tindakan bekas Naib Presiden mereka, Datuk Dr. Chua Jui Meng dan Datuk S.S Subramaniam keluar parti untuk menyertai PKR terjadi kepada UMNO," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 1,000 ahli PKR dari Bahagian Silam, Lahad Datu, Sabah termasuk Exco Wanita PKR Pusat, Siti Sarina Che Ismail mengumumkan keluar parti untuk menyertai UMNO.

Penyertaan beramai-ramai bekas ahli PKR ke UMNO itu diketuai oleh bekas ahli jawatankuasa perhubungan PKR negeri Sabah yang juga bekas Ketua PKR Bahagian Silam, Hassan Malempeng.

Mereka bersama-sama 23 orang bekas ketua cawangan PKR menyerahkan borang penyertaan UMNO masing-masing kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lahad Datu, Datuk Nasrun Datu Mansur.

Menurut Hassan, beliau dan rakan-rakannya meninggalkan PKR secara sukarela selepas hilang keyakinan terhadap perjuangan PKR yang tidak jelas, sebaliknya mereka yakin terhadap perubahan kepimpinan baru UMNO.

Katanya, beliau yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membawa gagasan ''1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan''.

Ujar Ahmad, ahli-ahli UMNO mesti setia kepada perjuangan parti dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berjuang untuk membela nasib rakyat serta membangunkan negara ini.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, tindakan itu membuktikan bahawa rakyat telah sedar hanya BN mampu memperjuangkan nasib mereka.

"Keputusan ini menunjukkan mereka telah sedar bahawa selama ini perjuangan mereka adalah sia-sia.

"Mereka telah nampak bahawa hanya BN yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat di peringkat akar umbi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Salleh, pelbagai masalah yang ditimbulkan pembangkang terutama di Semenanjung telah menyedarkan rakyat bahawa pakatan pembangkang terlalu rapuh dan hanya inginkan kuasa.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan masih ramai yang berminat menyertai Barisan Nasional (BN) meskipun terdapat beberapa pemimpin BN keluar dari parti itu.

lancar perhimpunan ISA

erakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini secara rasmi mengumumkan perhimpunan besar-besaran mendesak penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 Ogos ini.

Pengerusi NGO itu Syed Ibrahim Syed Noh berkata, agenda program pada hari tersebut belum diputuskan lagi dan dijangka akan diketahui menjelang tarikh tersebut.

Tambahnya, mereka mensasarkan jumlah "sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), dua tahun lalu.

syed ibrahim gmiPada perarakan ke Istana Negara pada November 2007, kira-kira 40,000 ribu orang turun bersama-sama dengan tokoh-tokoh pembangkang.

Lokasi dan masa belum ditetapkan lagi, kata Syed Ibrahim di sidang media GMI di Dewan Pehimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur pagi ini.

Ditanya mengapa penangguhan tarikh himpunan tersebut sebanyak dua kali, pada Mac dan Jun, beliau berkata mereka terpaksa menghadapi pilihanraya kecil - menjelang pilihanraya parlimen Bukit Gantang dan DUN Penanti.

"Tetapi penangguhan tersebut ada manfaat. Kita dapat satu tarikh yang cantik," katanya.

Dalam satu kenyataannya, Syed Ibrahim berkata "tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960."

"Masa yang terlalu lama untuk negara dibiarkan diselubungi dengan akta yang empunya kuasa amat luas menahan tanpa bicara, menghukum tanpa bukti dan memenjara tanpa tempoh menentu.

"Sudah tiba masanya, akta usang itu bukan sahaja dikaji semula tetapi dimansuhkan sama sekali," katanya lagi.

GMI mengatur beberapa program menjelang himpunan besar tersebut, antaranya, siri ceramah di seluruh negara, pengedaran risalah, pertunjukan seni, forum dan petisyen dalam talian.

Sidang media itu turut disertai anggota-anggota gabungan NGO itu, termasuk wakil-wakil PAS, PKR, PSM, Pertubuhan Jemaah Islam Malaysia (JIM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Pusat Wartawan Independen (CIJ).

Perhimpunan ISA

Seribu petugas Unit Amal PAS akan dikerahkan 1 Ogos ini bagi mengawal keselamatan peserta demonstrasi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar tidak bertembung dengan kumpulan penyokong akta tersebut.

"Bagi saya, kita sama-sama bertanggungjawab. Kita sudah bincang cara mengawal disiplin (peserta kita).

"Kawalan Unit Amal seramai seribu orang telah dikerah untuk mengawal (aspek) keselamatan sahaja," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh.

gmi campaign launch 110408 syed ibrahimBeliau diminta mengulas pendekatan keselamatan GMI, sebagai penganjur, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dengan ribuan pendukung ISA yang dikepalai oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).

GMI juga akan mengeluarkan panduan kepada peserta Himpunan MANSUH beberapa hari lagi supaya bersedia menghadapi sebarang provokosi yang mungkin timbul pada hari tersebut, tambahnya.

"Kita juga minta kerjasama polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam bagi memantau perhimpunan ini.

"Kita mesti bertanggungjawab terhadap kumpulan masing-masing. Kalau di pihak mereka (Pewaris) juga, merekalah yang kena bertanggungjawab," kata Syed Ibrahim kepada Malaysiakini.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, yang tentang kemungkinan timbul huru-hara, beliau berkata:

"Kita tidak boleh kata huru-hara. Persoalan sebenarnya, apa motif mereka (kumpulan pro-ISA) mahu berhimpun pada masa itu juga?"

Demonstrasi serentak dua kumpulan berlawanan pendirian itu dibimbang boleh "menimbulkan huru-hara".

"Bila GMI dan Pewaris – dua kumpulan yang berbeza pendirian mengenai ISA – mengadakan perarakan pada masa dan hari yang sama, mungkin akan berlaku huru-hara," kata Ibrahim kepada Malaysiakini.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.

Sementara penyokong ISA bersama Pewaris bersama lebih 10 NGO Melayu merancang perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari.

Mulai 11 pagi, mereka yang berpakaian putih dijadual berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.
NONE