Rss Feed

MUHASABAH DIRI : FAKTA ATAU AUTA?

Baiklah semua, sebelum meneruskan pengembaraan di atas skrin monitor untuk membaca, ingin aku peringatkan, bahawasanya, entri ini mungkin benar dan mungkin tidak. Ianya aku letakkan di sini untuk dibincang dan direnung bersama. Semoga ada sesuatu di sebaliknya..Insyaallah..

Aku kurang pasti mengenai isu ‘Planet Nibiru’. Isu ini sebenarnya sudah lama namun, baru kini aku tergerak untuk menampalnya di sini untuk dikongsi bersama. Kehidupan kita di dunia ini terlalu kerdil di dalam berjuta galaksi. Dalam galaksi pula ada sistem solar yang berpaksi dan menurut arah ketetapan. Semuanya indah, teratur dan kemas sekali.

Namun, penemuan beberapa ahli astronomi mengenai telah ada beberapa planet yang berputar secara songsang dan mengalami kemunculan matahari dari arah bertentangan (Barat). Dalam masa yang sama, planet Nibiru atau juga dikenali sebagai planet X turut ditemui.



Planet ini dikatakan asalnya berwarna merah. Kenapa dengan planet ni? Kan memang banyak planet di dunia ni. Ya, benarlah itu. Malangnya, planet ini dijangkakan akan berlanggar (dan ada yang mengatakan hanya sekadar melintasi) Bumi. Menurut ramalan para saintis, dijangkakan bahawa fenomena ini akan terjadi dalam tempoh masa 50 tahun (tahun ditemui : 2003). Namun, ada yang menjangkakan bahawa fenomena ini akan terjadi pada tahun 2012. Wallahualam min sawaf..

Lintasan ini mampu membari impak yang sangat dahsyat ke atas Bumi dan segala isinya. Di mana, tsunami gergasi, pencairan ais di kutub, gempa bumi sekuat 9 skala ritcher, paras air laut akan meningkat sehingga bisa menenggelamkan daratan dan sebagainya. Gangguan elektromagnetik akibat graviti Nibiru dan pemanasan ekstrim juga akan berlaku. Dan peningakatan suhu inilah yang akan mengaktifkan semua gunung berapi dan manusia akan diancam oleh laharnya.

Dalam kecelaruan manusia dalam mencerna kebenaran akan Nibiru ini, ada pula yang mengatakah bahawa NASA telah menutup planet ini dari pengetahuan ramai manusia. Maka, ramailah yang berprasangka, mengapa NASA berbuat demikian? Manusia kini sukar untuk mempercayai NASA sejak terbongkarnya penipuan ‘Misi Apollo’ mereka.

Walau apapun ia, kita sebagai umat-Nya, haruslah sedar dari lena. Dalam ketidakpastian mengenai Nibiru ini, masih ada juga yang pasti – iaitu kiamat pasti akan berlaku. Mungkin ini adalah amaran dan peringatan daripada Allah s.w.t untuk kita yang dah lama sangat terleka. Benar atau tidak, ianya bukanlah permasalahan utama yang harus dibicara. Yang harus dibahaskan adalah, di mana kita ketika ini?

Jika entri ini mampu menyedarkan, ayuh kita bangun bersama. Fakta atau auta, itu belakang kira.

Tempahan cenderamata dan T-shirt dengan harga ProMosi


Salam Semua.. aoa kb yer erm ni nak buat promosi ni ...sesiapa yang inginkan sebarang tempahan, t-shirt, dan pelbagai barangan cenderamata ... harga promosi dan boleh dirunding .... tempah la apa lagi ... sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi :
Fahmi B Razali :
- 012 - 815 0277

- 019- 871 1010


Moh Hafiz :
- 012 - 858 0495

terdapat pelbagai CENDERAMATA dan T-SHIRT segala harga boleh dirunding.....

Kisah orang Melayu yang tidak kebulur lagi…

ORANG-orang Melayu, nampaknya seperti sudah terlalu selesa dengan kehidupan mereka di negara ini. Mereka tahu apa yang mereka mahu, mereka akan dapat. Tidak kiralah mereka itu menyokong kerajaan atau menyokong pembangkang – orang Melayu tidak akan kebulur hidup dalam negara ini.

Maka itulah, dalam kempen pilihan raya kecil di Bukit Selambau ini - slogan “kami sudah tidak kebuloq dengan BN” dimainkan dari atas lori-lori kecil bergerak (seperti iklan wayang cerita P. Ramlee). Lori dicat hijau itu bergerak ke segenap cerok kampung. Orang Melayu yang melihatnya bersenyum. Kanak-kanak Melayu di kampung-kampung terlompat-lompat keriangan. Orang Cina yang berniaga di kedai-kedai menarik nafas lega - kerana orang Melayu sudah ada wang untuk membeli barangan jualan mereka.

Slogan itu tiada salahnya. Memang benar. Orang Melayu di Malaysia ini sudah tidak kebulur. Anak-anak boleh kerja - paling rendah pun di kilang-kilang - dan paling tinggi anak-anak lulusan universiti yang bekerja besar di Kuala Lumpur dan bandar besar. Anak-anak orang Melayu kini sudah boleh belajar sehingga ke Amerika, England, Australia - dihantar kerajaan dan Mara. Setiap bulan anak-anak yang bekerja akan menghantar wang pulang ke kampung - oleh itu, tiada siapa yang kebulur lagi.

Yang menoreh getah - semalas-malas mereka pun boleh mengumpul sekerap berharga RM2 sekilo, masih boleh hidup. Yang mengait kelapa sawit - harga pasarannya sekarang tinggi dan lumayan. Pendek kata, orang Melayu sudah tidak kebulur. Mereka tidak perlu lagi ‘tongkat’ kerajaan BN untuk menyuap ke mulut mereka.

Yang berniaga kecil, kerajaan Pusat memberikan kepada orang Melayu bantuan pinjaman kecil TEKUN atau bantuan Ikhtiar. Tak kiralah orang itu orang UMNO ke, Pas atau PKR semua beratur untuk memohon bantuan itu. Pendek kata, tiada siapa lagi yang akan kebulur. Sama ada mereka akan bayar balik pinjaman itu atau tidak - itu soal lain. Masing-masing akan mendapat pinjaman mudah sekurang-kurangnya RM10,000 untuk modal berniaga.

Oleh itu, memang betullah kata orang Pas dan PKR dari atas lori kecil itu - “kami tidak kebulur dengan BN lagi”.

Mereka menjerit-jerit tidak mahu dibantu lagi. Orang Melayu - Pas, PKR, malah mungkin seluruh orang Melayu tidak lagi kebulurkan bantuan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN). Jika tidak, masakan mereka membawa slogan seperti itu.

Kita tidak pasti apakah itu namanya takbur atau lupa daratan, tapi itu tidak penting bagi pihak tersebut, asalkan mereka sudah tidak kebulur lagi. Seorang rakan yang bersama-sama membuat tinjauan di Bukit Selambau ini mengulas slogan itu dengan satu perbandingan analogi kisah ‘‘Anak dan Bapa.”

Katanya, si bapa yang mengasuh dengan penuh kasih sayang anak-anaknya - sekolah yang cukup, makanan, pakaian dan macam-macam lagi, tiba-tiba terkejut dengan sikap anaknya yang berubah setelah dia dewasa dan sudah boleh berdikari.

Si anak, mula menganggap si bapa itu sudah tidak penting lagi. Si anak merasakan dia sudah boleh berdiri sendiri dan tidak memerlukan bantuan lagi. Si anak yang dibela sehingga berjaya itu beranggapan dirinya dan bapanya sudah mempunyai jurang generasi. Jika si anak itu seorang yang berterima kasih, dia akan membalas semula jasa-jasa bapanya - tapi jika sebaliknya, dia akan berkata: ‘‘Saya tidak mengharapkan (kebulur) bantuan bapa lagi’'.

Dalam tradisi Melayu - orang Melayu akan menghormati orang tuanya atau tok-tok gurunya - tapi mungkin di sebabkan berlakunya perubahan zaman, tradisi itu sudah tidak dipedulikan lagi.

Dengan rasa tinggi diri mereka mendabik dada mengatakan mereka sudah berjaya - maka itu mereka sudah tidak kebulur lagi dan tidak memerlukan bantuan lagi.

Jika itulah kehendak orang Melayu - maka mudahlah tugas kerajaan sekarang. Orang Melayu sudah tidak mahu dibantu lagi.

Namun, kita berharap keseronokan orang Melayu itu tidaklah seperti apa yang dialami Pak Kaduk. Dia bersorak-sorak riang walaupun kampungnya tergadai.

Pak Kaduk tidak pernah terfikir bahawa tindakannya itu boleh menyebabkan anak cucunya satu hari nanti akan kebulur semula. Dia mungkin menang tapi dalam kekalahan.

Selangor Oh Selangor 2: Apa ada dalam notebook Beng Hock?

kisah Teoh Beng Hock, 30, amat tragik. Ia jarang-jarang berlaku dalam politik tanah air.

Semuanya terjadi pertengahan minggu lalu semasa SPRM memulakan satu siasatan mengejut. Mereka memanggil beberapa orang pemimpin Selangor bagi membantu siasatan berhubung soal tuntutan peruntukan kerajaan.

Beberapa hari sebelum itu, senario politik Selangor telah pun mula berkocak. Ia ekoran kisah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang membuat satu pendedahan. Melalui blognya http:\\weechookeong.wordpress.com beliau mendakwa mengenai 'orang yang ada kaitan dengan aktiviti underworld' di Selangor. Ia adalah mengenai kegiatan kongsi gelap yang dikatakan disokong oleh pihak tertentu.

Namun isu kongsi gelap itu terhenti seketika apabila pada hari Khamis, negara tersentak dengan tragedi berdarah yang berlaku ke atas Beng Hock, Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Sehari sebelum itu akhbar The Star menyiarkan gambar Beng Hock bersama-sama dengan bosnya, Hian Wah bertemu dengan seorang pegawai penyiasat SPRM di SUK Selangor.

Beng Hock ditemui mati selepas selesai membantu SPRM menyiasat mengenai kes penggunaan peruntukan kerajaan itu. Beliau berada di pejabat suruhanjaya itu dari pukul 6 petang hingga 3.50 pagi.

Sepanjang tempoh siasatan itu, Beng Hock bekas wartawan Sin Chew Daily itu dikatakan telah memberi komitmen dan kerjasama sepenuhnya. Banyak dokumen yang perlu disemak satu persatu. Beliau turut dikatakan membantu menyusun dokumen-dokumen di atas meja. Malah beliau berjanji akan membawa lagi dokumen untuk diteliti di pejabat SPRM itu. Tapi semua itu tidak sempat, beliau kemudiannya ditemui mati.

Difahamkan Beng Hock, yang merupakan seorang pemuda yang bercakap lembut dan kaki buku mulai gelisah apabila komputer ribanya mula dibuka. Ia dikatakan berlaku sekitar pukul 1 pagi. Tidak pasti apa ada dalam komputer itu yang menyebabkan beliau terlalu gelisah. Tapi yang jelas bahan-bahan dalam komputer itu amat penting untuk siasatan.

Pihak forensik polis kini dipercayai telah mengambil komputer riba itu daripada SPRM untuk siasatan lanjut.

Apa sekalipun, isi kandungan dokumen-dokumen yang ada dalam komputer riba itu akan diteliti. Mungkin juga ada maklumat-maklumat penting yang boleh membongkar satu demi satu lagi cerita.

Kita tidak tahu apa ada dalam komputer itu, tapi lazimnya sesuatu siasatan polis atau pihak berkuasa lain akan menjurus kepada pelbagai elemen kejutan 'cari benda lain akan terjumpa benda lain'.

Kita juga tidak pasti mengapa pihak di luar sana ada yang 'melompat-lompat' mengenai isu ini. Kadangkala perbuatan mereka itu kelihatan amat pelik. Apakah mungkin mereka juga turut resah gelisah mengenai siasatan itu? Kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

Perlukah suruhanjaya siasatan ditubuhkan?

Walaupun banyak pihak - terutama pembangkang mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat kes Teoh ini, tapi banyak juga pihak yang tidak begitu yakin dengan hasilnya kelak.

Mereka tidak mahu ia menjadi satu gelanggang yang hilang arah dan tiada fokus. Mereka juga tidak mahu ia kelak akan menjadi gelanggang untuk pihak-pihak tertentu mengaut faedah politik, melebihi matlamat asal penubuhannya.

Suruhanjaya membabitkan isu ketuk-ketampi seorang wanita yang disebut sebagai warga China, misalnya dikatakan telah hilang arah dan tersasar sehingga akhirnya mengaibkan Kerajaan Malaysia. Tidak semena-mena, kerajaan terpaksa menghantar seorang wakil bertaraf menteri untuk memohon maaf kepada Republik Rakyat China. Walhal ia akhirnya hanya membabitkan seorang wanita Melayu. Ia juga dikatakan telah mengaibkan pihak polis sendiri melalui sebuah penubuhan suruhanjaya aduan.

Begitu juga dengan suruhanjaya membabitkan isu V. K. Lingam - ia dikatakan gagal dikawal sehinggakan prosiding suruhanjaya itu menjadi seperti sebuah open trial di mahkamah biasa.

Janganlah ulang kesilapan-kesilapan itu. Jika mahu ditubuhkan sekali pun suruhanjaya itu, ia haruslah dilaksanakan dengan teliti dan teratur.

Kita tidak mahu kerajaan terjerat dengan desakan demi desakan yang kelak akan merugikannya, dan hasilnya tidak kelihatan. Sebaliknya pihak yang mendesak pula akan mendapat keuntungan politik hasil pancingan mereka.

Dalam keadaan sekarang, biarlah pihak polis yang meneruskan siasatan itu secara telus dan berhemah. Disebabkan ia sudah menjadi satu kes berkepentingan umum sudah tentu setiap aspek siasatan akan diikuti secara teliti oleh semua pihak. Oleh itu kita berharap siasatan dapat dijalankan secara profesional.

Namun, yang menariknya isu Beng Hock ini, ia sebenarnya telah membantu meredakan kemelut politik beberapa pihak tertentu di luar sana. Ia berlaku semasa isu underworld tengah panas, isu Kampung Buah Pala tengah panas dan isu banglo mewah Ketua Menteri di sebuah negeri, tengah panas.

Bacalah, hayatilah demi gagasan UMNO-Pas

SASTERAWAN Negara, Datuk Dr. Usman Awang (12 Julai 1929 - Ramadan 29 November 2001) mencoret sajak bertajuk Melayu dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Renungilah, hayatilah setiap patah ayat-ayat keramat bekas wartawan Utusan Melayu ini; yang segenap hidupnya dikorbankan demi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

Allahyarham seorang penulis yang berani. Beliau menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa bangsanya, agamanya dan tanah airnya. Baginya, seseorang hanya layak digelar penulis apabila sudah berani menyatakan sikap.

“Kalau tak berani tak payah jadi penulis,” kata Tongkat Warrant.

Demi orang Melayu yang amat mengharapkan gagasan perpaduan UMNO-Pas - yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk apa yang dikenalinya sebagai ‘kerajaan perpaduan’ - sekali lagi, bacalah, hayatilah sajak ini...

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah mua‘alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

Usman Awang
Al-Fatihah

Gerhana matahari dan gerhana kesetiaan

GERHANA I

Asar kelmarin semasa bulan dalam proses melindungi matahari, saya berada di dalam surau bersama-sama jemaah kariah.

Walaupun hanya dua saf, lelaki dan wanita serta kanak-kanak bersolat sunat gerhana matahari dengan penuh khusyuk. Kepada yang pertama kali melakukan ritual itu ia agak berbeza sedikit. Solat sunat dua rakaat itu mempunyai empat kali rukuk iaitu rukuk dua kali setiap rakaat dengan bacaan Al-Fatihah.

Imam, Ustaz Amir Noor Hezam yang memimpin solat itu memberi penerangan sebelum solat - niatnya dan cara-caranya, sama seperti dilakukan oleh tok imam sebelum solat hari raya.

Dan yang paling unik ialah SMS yang saya terima memaklumkan mengenai solat itu dari AJK Surau Al-Hidayah. Di akhir mesej itu, ada nota: Semua digalakkan memakai serba putih. Putih? Saya bertanya mengapa putih? Ia bukanlah wajib, tapi simbolik menandakan hari istimewa yang bukan berlaku selalu. Mungkin ia adalah fenomena yang berlaku buat kali terakhir dalam hidup kita yang pendek ini. Difikir-fikir ada logiknya juga, mungkin ia adalah gerhana terakhir kita.

Orang tua, muda (seperti saya) dan anak-anak semuanya memakai attire khusus itu (abang Rosli terpaksa menyelongkar gerobok - wardrobenya mencari seluar putih!). Para wanita memang pun telah putih dalam telekong.

Khatib kemudian membaca kuthbah ringkas (sama seperti khutbah solat hari raya) yang isi kandungannya mengenai soal-soal keinsafan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT dan kepada sesama manusia. Beliau kemudian menutup khutbahnya dengan satu peringatan: "Sedikit sebanyak dengan ibadah yang kita lakukan hari ini akan menyiapkan kita semua jika tiba masanya matahari naik dari arah barat kelak."

(Nota tambahan, petikan Kosmo! semalam muka 49: NEW YORK: Dunia akan kiamat tiga tahun lagi? Sebuah akhbar di sini semalam melaporkan berdasarkan kalendar kaum Maya di Amerika Tengah, kod tersembunyi kitab Injil, Perjanjian Lama dan teori pergerakan planet, dunia akan berakhir pada 21 Disember 2012 - Begitu jahilnya mereka tidak memetik kitabullah al-Quran!).

Saya dan jemaah lain - termasuk anak-anak mendengarnya dengan begitu khusyuk sekali khutbah itu.

Selepas majlis ini, semua jemaah menjamu selera dengan jamuan yang cukup istimewa. Itulah istimewanya jemaah surau Al-Hidayah, terletak di sebuah perkampungan di pinggir Shah Alam. Setidak-tidaknya anak-anak tahu adanya ritual yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan disunahkan kepada umatnya selama ini.

Terima kasih kepada Datuk Dr. Noor Azmi, Encik Mohd. Noor, abang Aziz dan juadah mi sanggul istimewa abang Hamid dan lain-lain.

GERHANA II

MenceritakaN mengenai keikhlasan dan kesetiaan, ia adalah dua istilah yang semua manusia tahu dan amalkan. Ia daripada kata dasar ikhlas dan setia (taat). Ia diamalkan dalam serba-serbi kehidupan.

Dalam agama soal itu amat dititikberatkan. Ikhlas dan taat kepada tuhan - dalam konteks Islam ialah kepada Allah SWT. Kedua-dua istilah itu bersangkutan dengan keimanan yang menjadi tiang tunggak kepada agama yang dianutinya.

Dalam kehidupan berkelamin, ikhlas kepada ikatan suami dan isteri. Mentaati pasangan masing-masing adalah akad yang diucapkan sebelum termeterainya secara sah pasangan itu. Begitu juga dalam kekeluargaan kepada ibu bapa, sanak saudara. Begitu jugalah dalam soal kerjaya. Kerja harus dilakukan secara ikhlas, bersungguh-sungguh dan komited. Kesetiaan kepada tempat kerja adalah kemestian bagi memastikan syarikat atau kantor itu beroleh kejayaan untuk faedah kakitangan-kakitangannya.

Di medan perang dua istilah itu cukup penting. Tanpanya tentera yang dianggotainya pasti akan tewas. Kesetiaan ialah mengenai ketaatan. Jika seseorang askar itu berpaling tadah, hancurlah barisan pertahanannya.

Di dalam tentera berpaling tadah atau menyerah diri atau juga disebut menderhaka, hukumannya ialah: Tiada ampun.

Begitu juga dalam politik. Ikhlas dan setia akan menjamin parti yang dianggotainya itu utuh dan kuat. Jarang-jarang ada anggotanya berpaling tadah. Jika tidak suka sekali pun, keluar dan duduk diam-diam. Namun dalam konteks Malaysia sekarang sudah ramai yang mulai berpaling tadah. Rata-rata yang berpaling tadah adalah disebabkan kes-kes yang terlalu remeh - kerana kedudukan dan kuasa.

Mungkin ini yang dinamakan politik dunia ketiga. Soal kepentingan bangsa ditolak ketepi. Soal kepentingan agama dan tanah air bukan lagi keutamaan. Kerana hati, apa nak jadi jadilah.

Yang peliknya di Malaysia, orang yang macam ini mendapat sokongan kuat, disanjung dan diangkat, walaupun rekodnya dia adalah penderhaka, tidak ikhlas dan tidak setia.

Mungkin benar dunia sudah di penghujungnya. Allahualam.

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.

Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.

Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.

Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).

Begini tulisan beliau:

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.